Hafiz Patel

Syeikh Hafiz Mohammed Patel dilahirkan di negeri Gujarat, India, pada 1926. Beliau wafat pada 18 Februari 2016 ketika berusia 90 tahun. Di Britain, ramai yang menuntut ilmu dan meminta nasihat daripada beliau.

Awal hidup Syeikh Hafiz Mohammed Patel

Ketika remaja di Karachi, Hafiz Patel bertemu seorang lelaki bernama Kolonel Amirudeen. Lelaki berketurunan Scotland dan Kanada itu dikenali di India sebagai Karnal Sahab.

Hafiz Patel sudah menghafaz Al-Quran semasa kecil lagi, dan pemahaman agamanya juga mendalam. Namun pertemuan itu mengubah haluan hidupnya. Sejak itu, usaha agama dan tanggungjawab terhadap umat dipikulnya tanpa henti, hingga ke hari terakhir hayatnya.

Syeikh Hafiz Mohammed Patel di Dewsbury

Seperti ramai lelaki Gujarat pada zaman itu, beliau berhijrah ke Britain untuk mencari rezeki dan bekerja di sebuah kilang di utara England. Di Dewsbury pula, orang Islam Asia Selatan yang sudah menetap di sana hidup tanpa imam mahupun hafiz. Apabila berita tentang ketakwaan Syeikh Hafiz Mohammed Patel sampai ke situ, mereka menjemput beliau tinggal bersama mereka.

Beliau menjadi imam dan mengajar agama, dengan penekanan pada amalan asas. Rumah beliau menjadi tempat singgah jemaah dakwah, dan para ulama dari India dan Pakistan sering bertandang ke sana.

Usaha Jemaah Tabligh di Britain

Beberapa dekad selepas kedatangan beliau, usaha itu merebak ke seluruh Britain. Ahli Tabligh bergerak dalam kumpulan kecil, menziarahi orang Islam setempat, mengajak mereka ke masjid dan bermalam di sana. Setiap kumpulan mempunyai seorang yang bertanggungjawab, dan keputusan dibuat melalui mesyuarat. Tujuannya ialah islah diri dan bersedia untuk akhirat, dengan berkhidmat kepada orang lain secara ikhlas.

Ribuan orang terkesan. Empat pusat wilayah didirikan di Glasgow, Blackburn, Leicester dan London, dan setiap minggu ratusan orang hadir di perhimpunan. Semakin banyak masjid, sekolah Islam dan madrasah didirikan. Sebuah seminari untuk melatih imam turut dibuka di Britain.

Syeikh Hafiz Mohammed Patel sendiri mengembara jauh, di Britain dan di seluruh dunia. Beliau juga seorang syeikh sufi dengan ribuan murid, di Britain dan di luar negara.

Tahun-tahun terakhir Syeikh Hafiz Mohammed Patel

Pada tahun-tahun akhir, beliau menggunakan kerusi roda, namun ibadat peribadinya tetap ketat hingga akhir hayat. Pada waktu malam, beliau bersolat sambil menangis. Beliau juga dikenali sebagai orang yang berusaha menyatukan pelbagai kumpulan Muslim di Britain.

Selepas beliau wafat, bekas murid dan rakan seusaha menyampaikan takziah. Ramai mengenang kasih beliau kepada umat dan cara beliau mengumpulkan orang ramai. Ramai juga merasakan tiada orang yang dapat menggantikan beliau. Seorang yang hadir ke pengebumian berkata:

'Hafiz Patel ialah seorang pemimpin rohani pada zaman ketika orang sepertinya sudah jarang. Insan sehebat beliau tidak muncul begitu sahaja; mereka hanya lahir selepas pengorbanan diri yang amat besar dan mujahada.'

* Petikan di sini diterjemahkan sedekat yang mungkin dengan maksud asalnya. Untuk kata-kata yang tepat, sila rujuk teks asal.

Maulana Saeed Patel dan Ishaq Patel

Anak Syeikh Hafiz Mohammed Patel, Maulana Saeed Patel, meneruskan usaha ayahnya dan memegang jawatan di Dewsbury Madarsa.

Ishaq Patel pula anggota Syura Jemaah Tabligh di UK. Ishaq Patel bukan anak Syeikh Hafiz Mohammed Patel. Yang sama hanyalah nama keluarga.